Sunday, February 17, 2013

Persediaan Perkahwinan

Berikut adalah ciri – ciri majlis perkahwinan yang ideal dengan fahaman islam. Berserdehana dari segi hiasan, makanan dan lain – lain. Tidak menganjurkan hiburan tambahan yang terlalu ekstrem seperti joget lambak dan karaoke sehingga lewat malam. Pengantin tidak memakai barang hiasan yang terlalu menonjol sehingga menimbulkan rasa rungsing orang yang melihatnya. Tidak ada paksaan pada pengantin lelaki untuk membayar wang hantaran yang di tetapkan pihak wanita. Tidak ada unsur syirik iaitu menduakan Allah dalam majlis perkahwinan. Tidak ada paksaan untuk tetapkan berapa dulang hantaran yang perlu di beri pihak lelaki dan pihak wanita. Tidak mendahulukan adat daripada syariah islam itu sendiri. Contohnya pengantin lelaki meminta sesuatu yang di benarkan syariah tetapi pihak wanita tidak izinkan kerana ia menganggu adat perkahwinan yang mereka ikut. Pihak lelaki berhak meminta sesuatu yang di benarkan syariah seperti masa untuk berdua – duaan dengan isterinya selepas dia nikah. Menjamu makanan pada tetamu mengikut kemampuan. Jangan jamu sesuatu di luar kemampuan anda sehingga anda perlu berhutang. Majlis kahwin tidak menganggu urusan penting orang lain. Pakaian pengantin tidak terlalu menjolok mata dan solekan yang di pakai pengantin juga perlulah berada dalam keadaan sederhana. Tidak ada unsur menghina agama dan Rasulullah S.A.W. Ikhlas dan tidak memaksa tetamu untuk member derma pada anda.

11 comments:

  1. Berikut adalah lima tip bagaimana hendak sediakan wang untuk majlis perkahwinan.

    Anda pasti tahu yang anda akan berkahwin pada satu hari nanti. Oleh itu, pada bulan pertama anda bekerja, anda perlu mulakan penyimpanan wang untuk majlis perkahwinan anda. Simpanlah sekadar yang anda mampu. InsyaAllah apabila tiba saat anda berkahwin, anda tidak kalut untuk mencari wang. Jika anda tidak mulakan penyimpanan dari awal, anda perlu simpan wang sebaik sahaja tarikh perkahwinan di tetapkan.
    Main kutu dengan rakan – rakan anda dan kalau boleh berbincang dengan ahli – ahli yang anda ingin cast out wang kutu anda sebulan sebelum anda melangsungkan perkahwinan anda. Secara tidak langsung nanti, anda ada wang cash yang banyak untuk anda gunakan.
    Amalkan sikap proaktif dengan bekerja lebih masa untuk mencari wang. Anda boleh buat OT, kerja part time atau berniaga secara part time. Jika anda ingin berniaga, pastikan perniagaan itu melibatkan jual beli barang, bukannya skim cepat kaya. Jangan laburkan wang anda pada perniagaan orang lain kerana kemungkinan besar wang yang anda labor akan hangus.
    Buat loan untuk ASB. Secara tidak langsung apabila tiba pembahagian dividen, anda boleh gunakan wang dividen tersebut untuk menyediakan majlis perkahwinan anda.
    Dari pendapatan bulanan anda, anda, anda simpan sebahagian untuk majlis perkahwinan anda dan gunakan wang makan anda untuk mulakan perniagaan kecil – kecilan secara online. Anda boleh ceburi perniagaan ebay , perniagaan affiliate dan perniagaan dropship. Anda pasti tidak akan berjaya jika anda berani berusaha.
    Kelima – lima tip di atas adalah antara teknik termudah untuk anda cari wang bagi majlis perkahwinan anda. Elakkan dari meminjam wang dari kenalan, keluarga dan bank semata – mata untuk memastikan majlis perkahwinan anda berjalan dengan baik. Adalah tidak berbaloi untuk anda meminjam wang yang banyak hanya untuk majlis yang berlangsung beberapa hari sahaja. Hutang bank sekarang sangat membebankan kerana kadar faedahnya yang tinggi terutama pinjaman peribadi.

    ReplyDelete
  2. Berikut adalah antara perkara yang anda perlu siapkan menjelang majlis kahwin nanti.Semoga senarai checklist yang saya tulis di bawah dapat membantu anda sedikit sebanyak melicinkan proses persediaan majlis kahwin anda. Namun, di ingatkan anda jangan berharap pada senarai di bawah bulat – bulat ya.



    Siapkan kad undangan majlis kahwin anda dan pastikan ia di cetak dalam bilangan yang mencukupi.
    Tentukan tempat majlis perkahwinan anda akan di adakan dengan cepat. Jika anda melangsungkan perkahwinan pada musim hujan, anda mungkin perlukan tempat tertutup seperti dewan atau penggunaan khemah yang kuat supaya tidak tumbang apabila di tiup angin rebut. Jika anda ingin adakan majlis anda di rumah, anda perlu fikirkan layout bagi kedudukan khemah, tempat lauk di letakkan dan sebagainya.
    Fikirkan menu untuk di jamukan pada tetamu. Pilihlah menu yang mengenyangkan dan boleh di makan oleh semua orang.
    Pastikan anda telah menjemput semua orang yang anda ingin jemput.
    Tempah baju pengantin anda dengan cepat supaya boleh siap pada masa yang di tetapkan. Jika anda ingin sewa baju pengantin, lebih baik anda tempah awal – awal.
    Siapkan barang hantaran dengan segera supaya anda tidak kalut di saat akhir.
    Tetapkan dengan jelas tatacara majlis anda iaitu masa tetamu makan, masa persandingan dan masa akan nikah jika ada.
    Tetapkan ruang untuk tetamu – tetamu anda meletakkan kereta mereka. Jika anda tinggal di kawasan yang susah untuk cari parking, pastikan anda beritahu siap – siap pada tetamu – tetamu anda di mana mereka perlu parking.
    Jika keluarga anda ingin masak sendiri, pastikan anda telah sediakan semua barang masakan yang di perlukan. Sediakan juga wang tambahan dan berikan pada ibu bapa anda untuk di gunakan jika bahan masakan tidak mencukupi.
    Pastikan pinggan mangkuk anda cukup.
    Sediakan menu istimewa untuk meja pengantin dan tempat makan untuk keluarga pasangan anda.
    Aturkan perjalanan paling mudah untuk semua yang terlibat ke rumah anda.

    ReplyDelete
  3. i bawah merupakan senarai cadangan bagaimana hendak meriahkan majlis perkahwinan anda.

    Adakan upacara memotong kek di mana anda dan pasangan anda memotong kek selepas anda berdua bersanding atau anda gantikan majlis persandingan dengan upacara memotong kek. Upacara memotong kek boleh juga di lakukan pada waktu malam khas untuk ahli keluarga terdekat sahaja.
    Pasang lagu – lagu yang menarik seperti lagu pengantin baru dan sebagainya. Jika mampu, anda upah DJ untuk meriahkan suasana.
    Gunakan perkhidmatan muzik kompang untuk menyambut pengantin datang ke majlis perkahwinan. Muzik kompang pasti akan menggegarkan suasana majlis perkahwinan anda. Anda juga akan rasa seronok dan terharu apabila mendengar muzik kompang pengantin di mainkan.
    Berikan hadiah kepada tetamu yang datang ke majlis perkahwinan anda. Jika boleh, anda jangan beri coklat, surah yassin dan kek. Sebaliknya, anda beri mereka telur rebus seperti kebiasaannya. Telur rebus sangat sinonim sebagai hadiah majlis perkahwinan untuk tetamu. Tetamu anda pasti akan rasa seronok apabila menerima bunga telur dari anda.
    Adakan kod pemakaian untuk ahli keluarga anda. Contohnya semua ahli keluarga anda wajib memakai baju berwarna merah ketika majlis perkahwinan berlangsung.
    Adakan sesi karouke di mana anda benarkan tetamu majlis perkahwinan untuk menyanyi.
    Panggil kumpulan marhaban untuk berzanji di majlis perkahwinan anda.
    Buka setiap hadiah yang anda dapat selepas semua tetamu sudah pulang. Berikan hadiah yang anda tidak mahu kepada mereka yang membanting tulang menolong anda menjayakan majlis perkahwinan anda.
    Jika anda ada majlis akad nikah serentak dengan majlis perkahwinan, anda pastikan majlis akad nikah berlangsung dengan meriah. Pastikan pengantin lelaki menggunakan mikrofon ketika akad nikah untuk memberi suasana meriah.
    Adakan sesi bergambar dengan tetamu majlis perkahwinan anda. Hari perkahwinan adalah hari yang hanya akan berlangsung sehari sahaja. Oleh itu, anda patut kongsi suasana tersebut dengan tetamu – tetamu anda.
    Adakan rakaman video di mana rakaman tersebut melibatkan semua orang di majlis perkahwinan tersebut.
    Berikan upah pada semua yang membantu anda menjayakan majlis perkahwinan anda. Apabila ada upah, mereka akan lebih seronok bekerja.
    Sediakan kambing golek.

    ReplyDelete
  4. Jika anda sedang melakukan persediaan untuk majlis perkahwinan anda, anda boleh baca 7 tip di bawah untuk pastikan persediaan majlis perkahwinan anda berjalan dengan lancer.



    Jangan percaya pada janji mulut seseorang. Kemungkinan besar perjanjian yang hanya di lakukan berdasarkan janji mulut tanpa ada bukti yang nyata sebagai sokongan akan berakhir dengan si pembuat janji tidak tunaikan janjinya.
    Jangan tangguh – tangguhkan perkara yang anda ingin lakukan kerana masa tidak boleh di undur. Melakukan kerja pada saat terakhir pasti akan beri tekanan pada anda dan kebanyakan perkara yang anda rancang tidak akan menjadi jika anda lakukannya pada saat terakhir.
    Jangan sediakan sesuatu yang berada di luar kemampuan bajet anda kerana ia akan beri tekanan pada anda. Majlis perkahwinan adalah majlis yang sepatutnya menjadi saat yang menyeronokkan dan perbelanjaan yang melebihi bajet akan menyebabkan anda tidak ingat untuk rasa seronok ketika berada di majlis itu nanti.
    Jangan buat keputusan terburu – buru. Dapatkan pandangan dari ahli keluarga, pasangan dan rakan – rakan sebelum anda membuat sesuatu keputusan.
    Untuk lebih teratur, anda berbincanglah dahulu dengan mereka yang ada pengalaman melangsungkan majlis perkahwinan dan dapatkan gambaran dengan jelas apa yang anda perlu lakukan untuk pastikan majlis tersebut berjalan dengan lancar.
    Dahulukan perkara – perkara yang penting seperti makanan, tempat majlis berlangsung dan undangan majlis. Perkara – perkara sampingan seperti pelamin dan sebagainya anda jadikan ia perkara terakhir untuk anda fikir. Apabila anda selesaikan perkara utama seperti makanan dan tempat majlis berlangsung, anda akan rasa selesa untuk merancang set pelamin yang cantik untuk anda bersanding nanti. Jika tidak, anda akan rasa tertekan kerana perkara utama masih tidak di selesaikan lagi.
    Simpan wang kecemasan sebanyak RM 2000 sehingga RM 5000k. Biasanya pada hari majlis berlangsung, anda pasti perlukan dana tambahan. Jadi, lebih baik anda simpan dan asingkan wang kecemasan ini daripada bajet persediaan.

    ReplyDelete
  5. Berikut adalah senarai tip persediaan awal majlis perkahwinan.



    Adakan perbincangan awal antara kedua – dua pihak iaitu pihak anda dan pihak pasangan anda. Dapatkan tarikh sebenar untuk majlis perkahwinan, tarikh pernikahan dan tarikh – tarikh yang lainnya. Jika anda lelaki, pastikan nilai wang hantaran yang pihak wanita minta adalah tetap dan tidak akan berubah. Jika pihak wanita inginkan wang hantaran di dahulukan, anda tanya tarikh sebenar yang mereka mahu.
    Tulis satu checklist dan anda siapkan semua tugasan berdasarkan checklist tersebut. Biasanya jika anda ada masa setahun untuk majlis perkahwinan, tiga bulan terakhir adalah masa yang paling sibuk untuk anda siapkan semua keperluan untuk majlis perkahwinan. Bagi lelaki selain wang hantaran, anda juga perlu memikirkan wang untuk siapkan majlis perkahwinan anda, baju pengantin, cincin dan banyak lagi. Jadi, bersiap sedialah untuk berjuang.
    Jangan lupa hadiri kursus perkahwinan dan patuhi semua syarat yang di tetapkan untuk bernikah seperti surat bebas penyakit HIV dan sebagainya.
    Sebaik sahaja tarikh perkahwinan di tentukan, anda terus berbincang dengan family anda mengenai majlis perkahwinan anda. Jika keluarga pasangan anda berada jauh dari kampong anda, anda mungkin perlu sewakan homestay untuk ahli keluarga pasangan anda tinggal. Anda perlu pantas bertindak supaya tidak ada masalah di kemudian hari. Yalah, katakan majlis kahwin anda berlangsung pada musim cuti sekolah di mana banyak majlis kahwin akan berlaku serentak, anda akan kalut apabila khemah yang anda ingin tempah, homestay yang anda ingin tempah, set pelamin yang anda ingin tempah semuanya telah di tempah orang lain. Jadi, siap sedia dari awal lebih bagus.
    Sentiasa berbincang dengan pasangan anda untuk tentukan tema warna dan hiasan untuk majlis perkahwinan nanti. Adalah penting untuk anda bincangkan tema majlis perkahwinan supaya anda berdua tahu dengan jelas untuk tempah baju pengantin yang sesuai untuk majlis perkahwinan anda.
    Kenal pasti tok kadi dan daftar nama untuk pernikahan .
    Tentukan acara majlis daripada pernikahan, persandingan, bertandang dan sebagainya. Pendek kata, anda senaraikan siap – siap aturcara untuk keseluruhan majlis perkahwinan dengan pasangan anda.

    ReplyDelete
  6. Antara perkara yang paling susah hendak di lakukan ketika melakukan persediaan majlis perkahwinan adalah memastikan kos untuk majlis perkahwinan tersebut berada dalam lingkungan bajet yang anda ada dan telah anda tentukan. Jadi, untuk pastikan kos majlis perkahwinan anda berada dalam lingkungan bajet, berikut ada 7 tip untuk anda ikut.



    Sediakan peruntukkan wang untuk setiap bahagian dan pastikan diri anda berdisiplin mengikut peruntukkan yang anda telah tetapkan. Contohnya anda telah peruntukkan RM 5000 untuk bahagian makanan, pastikan anda hanya guna RM 5000 untuk makanan. Jika anda terpaksa guna lebih, pastikan ia hanya lebihan wang daripada bahagian – bahagian yang lain. Jika anda tidak ada disiplin, anda boleh minta orang lain yang uruskan.
    Belanja mengikut kemampuan anda dan jangan sesekali membazir wang membeli barang atau menempah perkara yang tidak perlu. Dahulukan keperluan dahulu.
    Pastikan anda sudah survey di tiga atau empat tempat sebelum membeli sesuatu. Contohnya anda mahu menempah khidmat jurugambar ketika majlis perkahwinan, pastikan anda menempah khidmat tersebut hanya selepas anda yakin ia adalah termurah dan terbaik.
    Senaraikan perkara to do list dan siapkan semua perkara dengan pantas. Anda selalunya akan kehilangan fokus mengawal bajet anda apabila anda tidak melakukan kerja dengan pantas dan teratur. Apabila kerja anda teratur, anda pasti tidak akan lupa untuk mengawal bajet anda.
    Jangan dengar cakap orang kerana orang tidak tahu situasi kewangan anda. Lebih baik anda sendiri yang mengawal pengurusan majlis perkahwinan anda supaya anda boleh berjimat. Jika anda asyik mendengar cakap orang, anda pasti rasa sukar untuk mengawal bajet anda. Lakukan perkara yang anda mahu dan jangan lakukan perkara yang anda tidak mahu.
    Beli barang perkahwinan anda ketika jualan murah sedang berlangsung.
    Jangan lakukan sesuatu pada minit – minit terakhir

    ReplyDelete
  7. Berikut adalah 7 perkara yang boleh merosakkan majlis perkahwinan anda.

    Apa yang anda rancang tidak menjadi di sebabkan kecuaian anda ketika melakukan follow up. Ingat, jangan percaya pada janji mulut. Jika anda menempah makanan daripada katering, pastikan anda sentiasa follow up dua minggu dari tarikh perkahwinan. Jangan kerana anda telah tempah perkhidmatan mereka sebulan lebih awal, anda percaya bulat – bulat mereka akan lakukan kerja mereka. Pastikan anda lihat mereka take action.
    Adanya campur tangan dari pihak luar yang ingin menguruskan majlis perkahwinan anda mengikut kepalanya sahaja. Peristiwa ini selalu terjadi apabila saudara dari jauh datang ke rumah anda dan terus lakukan sesuatu tanpa berbincang dengan anda. Untuk atasi perkara ini, anda tetapkan siap – siap kerja yang mereka perlu lakukan jika mereka ingin menolong anda.
    Anda tidak perhatikan keadaan cuaca. Jika majlis perkahwinan anda berlangsung pada musim hujan, lebih baik anda langsungkan ia di tempat yang tertutup atau pastikan khemah yang anda tempah boleh lindungi pengunjung majlis anda daripada tempias hujan.
    Anda tidak atur jadual majlis perkahwinan dengan baik sehinggakan keadaan jadi kelam kabut. Senaraikan semua perkara yang anda perlu lakukan pada hari perkahwinan dan penuhi setiap perkara tersebut tepat pada masanya. Jika anda tidak ada masa untuk uruskan perkahwinan anda, pastikan anda serahkan tugas pada orang yang tepat.
    Duit anda habis ketika majlis perkahwinan anda berlangsung. Pastikan anda ada dana ketika majlis perkahwinan berlangsung supaya ia boleh berlangsung dengan lancar.
    Anda kehabisan makanan untuk tetamu yang hadir. Pastikan bilangan tetamu yang anda jemput bertepatan dengan jumlah makanan yang telah anda tetapkan. Untuk lebih jimat, lebih baik anda masak sendiri daripada anda tempah di katering.
    Anda lewat melakukan persediaan sehingga banyak perkara anda terpaksa abaikan untuk memastikan majlis perkahwinan tetap berlangsung.
    Ketujuh – tujuh perkara di atas merupakan perkara yang boleh menyebabkan majlis perkahwinan anda menjadi suram atau rosak. Jadi, perhatikan ketujuh – tujuh perkara di atas supaya ia tidak akan berlaku.

    ReplyDelete
  8. Perkhidmatan wedding planner memang nampak akan memudahkan urusan majlis perkahwinan anda. Namun, adakah perkhidmatan ini benar – benar berbaloi untuk anda gunakan. Ia akan jadi berbaloi jika anda memang seoarang yang sibuk dan tidak ada masa langsung untuk menguruskan hal perkahwinan anda manakala ia akan jadi tidak berbaloi jika anda tidak ada wang yang banyak kerana biasanya perkhidmatan wedding planner adalah mahal dan anda hanya akan dapat majlis yang biasa – biasa sahaja jika anda tidak ada wang yang banyak untuk bayar perkhidmatan wedding planner tersebut.



    Selain wang yang banyak di perlukan jika anda ingin majlis yang meriah, anda perlu ingat tidak mudah untuk mencari seorang wedding planner yang benar – benar boleh bekerja untuk anda. Wedding planner yang professional akan sentiasa mendengar pendapat dari anda dan dia akan ikut rancangan yang anda mahu manakala wedding planner yang tidak professional akan ikut kepala dia sahaja. Malangnya di Malaysia ramai wedding planner yang bersikap tidak professional. Mereka lebih cenderung melakukan sesuatu yang berpihak pada mereka sahaja. Maksudnya mereka malas untuk bekerja lebih tetapi mahukan bayaran.



    Walaubagaimanapun, perkhidmatan wedding planner ada juga kebaikannya kerana mereka boleh datang dengan satu pakej iaitu pelamin , khemah majlis perkahwinan, khidmat katering, khidmat Andaman, baju pengantin dan DJ. Jadi, apabila anda gunakan perkhidmatan wedding planner, anda tidak perlu berfikir terlalu banyak kerana semuanya telah anda. Namun, semua kelengkapan dalam satu pakej juga akan beri anda risiko yang tinggi kerana jika wedding planner tersebut tidak berjaya menyiapkan perkhidmatannya, anda juga yang akan rugi.



    Jadi, sama ada berbaloi atau tidak untuk anda dapatkan perkhidmatan wedding planner, anda tentukan berdasarkan situasi semasa anda. Jika anda terlalu sibuk, anda boleh dapatkan perkhidmatan mereka untuk memudahkan urusan anda. Di samping itu, anda perlu sentiasa follow up supaya anda lihat mereka buat kerja. Pastikan anda memilih wedding planner yang ada latar belakang yang baik dan tidak pernah menipu.



    Jika anda ada masa, lebih baik anda uruskan sendiri majlis perkahwinan anda kerana ia akan menjadi kenangan anda sepanjang hayat.

    ReplyDelete
  9. Jika anda ada masalah modal untuk berkahwin, di bawah saya ada sediakan beberapa cadangan atau tip untuk anda ikut. Semoga senarai tip yang saya senaraikan boleh membantu anda untuk mencari modal untuk majlis perkahwinan anda.

    Jika anda ingin mencari modal untuk majlis perkahwinan anda, anda perlu ada rancangan untuk melakukannya. Ambil satu kertas dan rancang bagaimana hendak mencari wang tambahan. Anda senaraikan semua kerja atau cara untuk cari wang yang anda tahu. Selepas itu, anda tentukan jenis kerja atau jenis cara untuk cari wang yang anda akan aplikasikan untuk mencari modal untuk majlis kahwin anda nanti. Aplikasikan jalan yang anda pilih sehingga berjaya.
    Buat pinjaman peribadi daripada bank tetapi dalam masa yang sama anda cari kerja tambahan untuk cari wang tambahan. Jangan tunggu selepas kahwin baru anda cari wang untuk lunaskan hutang anda itu atau anda biarkan sahaja wang di potong melalui gaji anda. Anda perlu faham majlis kahwin bukanlah harta atau aset. Jadi, elakkan ia daripada di tanggung pinjaman kerana pinjaman mempunyai kadar interest yang merugikan anda di masa akan datang.
    Jangan cari kerja part time yang memenatkan jika anda seorang yang bekerja di pejabat. Bekerja di pejabat biasanya lebih banyak menggunakan akal fikiran. Jadi, apabila anda lakukan kerja part time yang menggunakan tenaga, anda akan rasa tidak bermaya dan penat untuk kerja dalam masa yang lama. Lebih baik anda pilih kerja part time yang menggunakan akal fikiran juga seperti jadi part time kerja jual kereta, jual insurans atau agen pinjaman peribadi.
    Anda keluarkan modal dan cari dua hingga tiga orang business partner dan mulakan bisnes. Jika anda tidak percaya pada business partner, anda mulakan perniagaan sendiri.
    Mohon kerja lebih masa atau kerja tambahan dari syarikat anda. Kadangkala ada syarikat yang menyediakan kemudahan untuk pekerjanya mencari duit lebih. Anda boleh siasat jika anda mahu.
    Semoga anda berjaya mencari modal yang cukup untuk majlis perkahwinan anda. Jangan tertekan ketika mencari modal. Biarkan wang yang tentukan majlis kahwin yang bagaimana anda akan langsungkan, bukannya majlis kahwin yang tentukan modalnya.

    ReplyDelete
  10. “Saya berusia 21 tahun, dan sudah berkahwin. Masih muda bukan? Suami saya berusia 23 tahun. Juga masih muda. Kami berdua masih belajar. Jadi, Mengapa berkahwin? Kalau ikut kata mak ayah, “Nak bagi bini makan apa? Pasir?”

    Perjalanan cinta saya tidak mudah. Sebelum berkahwin, saya pernah teruk dikecewakan bekas kekasih. Dia minta masa 3 tahun dari tarikh kami “declare”, untuk bersedia untuk berkahwin. Hampir 3 tahun, saya ditinggalkan untuk perempuan lain. Kecewa? Sudah tentu. Jujur, saya hampir bunuh diri. Saya mengalami depression di maa saya disconnect dengan dunia luar.

    Tapi selepas itu baru saya sedar kehadiran suami saya yang sudah 4 tahun menunggu peluang. Pada mulanya, saya ingat sekadar “cinta rebound”, tapi selepas 2 bulan berkenalan dan bercintan, suami saya melamar untuk berkahwin. Pada mulanya, saya ingat satu gurauan. Akhirnya si dia berani call ayah saya, dan minta izin untuk berkahwin, kerana takut kehilangan saya lagi.

    Ayah saya pun dahulu berkahwin ketika belajar, tahun 1 peringkat ijazah. Suami saya pelajar perubatan tahun 3, dan saya Cuma tinggal 2 bulan untuk mengakhiri pengajian. Ayah saya bersetuju, dan memandangkan saya sudah kecewa, takut juga pisang berbuah dua kali. Akhirnya, kami berkahwin. Dengan mahar RM200, sebentuk cincin emas, tiada hantaran, tiada majlis, kami bernikah.
    Simple bukan? Kenapa perlu pening??? Kalau anda lelaki, anda mesti ingin berikan segala yang terbaik untuk bakal isteri anda. Dan, kalau anda perempuan seperti saya, semestinya inginkan hantaran yang tinggi (lulusan ijazah sekarang, rate hantaran RM10K ke atas). Perlu tidak?

    Maaf perempuan, kalau terasa. Saya bukan jual diri, saya tidak perlukan hantaran RM10-20K. Saya tidak letak harga untuk nilai diri sendiri dan harga cinta saya. Ini masalah kalau kita kahwin cara Melayu, da bukan cara Islam. Saya perempuan lulusan ijazah, saya ada tulang 4 kerat, dan saya boleh berusaha, kenapa perlu mengharap dengan lelaki? Suami bukan untuk dibebani, tapi untuk Disenangi. Isteri bukan untuk dibeli, tapi untuk dikasihi.
    Kos kahwin sekarang paling rendah pun RM20K serba satu. Hantaran, majlis, belum baju, pelamin. Tapi cuba fikir, perlu tidak? Baju raya kan masih ada, cantik lagi. Kasut raya pun masih baru. Kenapa perlu buat majlis di hotel, dewan orang ramai kan ada? Kalau rasa sangat mahal untuk katering, boleh upah orang masak, tinggal sediakan bahan dan peralatan. Bersanding tak perlu, buat penat badan duduk macam tunggul depan orang.

    ReplyDelete
  11. “Seganlah. Nanti orang kata apa.” .. “Isk, buat malu belajar tinggi-tinggi, tak dapat hantaran”. Hai, ni mentaliti Barat. Bagi yang beragama Islam, ingat rukun nikah. Tanggungjawab selepas kahwin yang penting. Lebih baik duit sewa pelamin jadi duit persiapan untuk anak pertama. Prioritikan penggunaan duit anda. Kos bersalin bukan murah. Kalau di hospital kerajaan, paling kurang perlu ada RM400-500. Tapi di hospital swasta, minimum RM2000. Kos ada anak sangat tinggi sekarang.

    Pernah cuba lihat harga setin susu bayi di pasar? Harga lampin pakai buang? Dan sekarang, anda masih terfikir pelamin itu penting? Ini tak kira duit nak beli kenderaan, beli rumah. Pening!! Jadi jangan bebankan diri anda dengan majlis perkahwinan yang membazir dan tidak perlu.Saya bahagia sekarang. Boleh keluar dengan suami tanpa rasa takut dan malu, disentuh lelaki bukan mahram. Dan suami saya tidak perlu takut saya diambil lelaki lain seperti dulu. Apa semua yang pasangan bercinta lakukan, kini kami lakukan dengan halal. Dan kami boleh lakukan lebih dari itu, dengan halal. Tidak perlu risau. Kami aman dan bahagia. Saya dan suami masih bercinta. Masih belajar mengenal sesama sendiri. Dan percayalah, tak guna bercinta lama-lama.

    Seganlah keluar dengan pasangan yang tidak halal untuk anda. Saya dan suami, masih seperti pasangan yang baru bercinta. Saya mampu tanggung hidup sendiri, kerja dan cari duit sendiri. Buat apa menyusahkan suami? Dan suami berusaha belajar bersungguh-sungguh (bagi pelajar perubatan, anda faham maksud saya),untuk mendapat keputusan yang cemerlang. Saya tahu ego lelaki tercabar, tetapi saya jujur cintakan suami saya. Saya tak ingin jadi beban, cukup asal dia berasa senang dengan saya.

    Tidak perlu nafkah yang besar, semampu yang ada saya terima. Bakal-bakal isteri sekalian, bersyukurlah dengan suami anda. Dan bakal-bakal suami sekalian, hargai isteri kamu. Terima kekurangan dan kelemahan pasangan anda. Persamaan membina keserasian, perbezaan itu melengkapkan.
    Rezeki Tuhan ada di mana-mana. Jangan putus asa. Berkahwinlah! Semoga anda semua merasa tenang dan bahagia".

    ReplyDelete